Monday 22 March 2010

Anda Berdebar??


Anda Berdebar?

Rahsia di sebalik kenapa manusia berdebar ketika ketakutan.
Ramai di antara kita yang mempunyai pengalaman ketika ditugaskan untuk menyampaikan ‘presentation’ sewaktu menuntut di kolej dahulu ataupun ditugaskan untuk menyampaikan ucapan bagi sesebuah majlis rasmi. Perasaan yang timbul ketika hendak melakukannya amatlah mendebarkan apalagi ketika berdiri di khalayak ramai dan untuk mengucapkan kata-kata dengan harapan mereka yang mendengar memahami apa yang diucapkan.

Tiba-tiba, tanpa disedari, tangan anda sudah berpeluh, jantung berdenyut dengan derasnya, air liur kering dan yang paling ketara sekali ialah sehingga menggeletar seluruh badan. Mungkin anda tidak pernah mengalaminya, tetapi mungkin anda pernah menyaksikan peristiwa tersebut. Inilah yang berlaku sekiranya anda sedang ketakutan.

Takut untuk memberi ucapan di khalayak ramai selalunya dikaitkan dengan rendah keyakinan diri. Tetapi, anda mempunyai kuasa untuk terus malawan ketakutan itu, dan terus memberanikan diri untuk memberi ucapan tanpa menghiraukan tangan anda yang masih menggeletar. Perubahan yang berlaku ketika ketakutan seperti yang telah dinyatakan di atas, adalah perkara normal bagi setiap individu.

Sebenarnya perubahan tersebut disebabkan oleh sistem ‘alarm’ yang berada di dalam otak seseorang sehingga mengaktifkan hormon-hormon tertentu di dalam badan untuk memberi respon terhadap situasi yang dianggap memberi ‘ancaman’ kepada diri. Sistem ‘alarm’ ini dinamakan ‘Sympathetic Nervous System’ (SNS) yang menyerupai seperti ‘accelerator’ di dalam enjin kereta yang berupaya untuk mengepam udara dan minyak supaya kereta akan bergerak dengan lebih laju. Jadi, janganlah pula anda mentertawakan kepada mereka yang menggeletar untuk memberi ucapan kerana SNS mereka sedang aktif.

Apabila SNS telah diaktifkan (tanpa anda menyuruhnya sekalipun), segala perubahan yang berlaku di dalam badan anda adalah untuk memberi kekuatan yang lebih banyak kepada otot terutamanya dan membantu diri anda untuk melawan (fight) atau melarikan diri (flight) sewaktu diri anda berada di dalam bahaya. Apa perubahan yang berlaku di dalam badan apabila ketakutan?

1) Pengaliran darah- Otot anda merupakan bahagian yang paling penting ketika tindak balas SNS. Jadi, pengaliran darah hanya tertumpu kepada otot-otot dan sekaligus akan menyebabkan muka atau kulit anda akan kelihatan pucat.
2) Tekanan darah- Oleh kerana anda memerlukan lebih banyak oksigen, gula dan darah kepada otot untuk membekalkan lebih banyak tenaga, tekanan darah dan nadi anda akan meningkat.
3) Pernafasan- Untuk membekalkan lebih banyak oksigen kepada otot, kadar pernafasan anda akan meningkat dan salur udara ke peparu juga akan mengembang. Pernafasan yang normal akan bertukar menjadi tercungap-cungap.
4) Pencernaan- Oleh kerana darah hanya tertumpu kepada bahagian yang penting sahaja iaitu otot, bahagian yang kurang penting seperti sistem pencernaan akan perlahan dan kadar asid di dalam perut akan bertambah.
5) Penglihatan- Untuk membantu kita melihat lebih jelas, anak mata akan mengembang untuk memberi masuk lebih banyak cahaya.
6) Peluh- Kadar metabolisma akan meningkat dan menyebabkan badan menghasilkan banyak haba. Untuk mengelakkan daripada ‘over heating’ kita akan berpeluh untuk menyejukkan badan.
7) Mulut- Mulut akan kering dan air liur berkurang oleh kerana darah hanya tertumpu kepada otot untuk membekalkan tenaga.
8) Otak- Hormon seperti adrenaline akan mengaktifkan bahagian otak iaitu amygdala dan akan menghasilkan perasaan takut/stress dan otak anda akan berfikir dengan lebih cepat.

Apabila ketakutan hilang..

Selepas 3 minit anda merasakan ‘bahaya’ itu telah hilang, bahagian otak iaitu hypothalamus akan mengaktifkan ‘Parasympathetic Nervous System’ (PNS) yang akan menghentikan SNS ataupun sistem ‘alarm’. Ketika itu, tekanan darah akan seperti sedia kala, jantung tidak berdenyut dengan kencang lagi dan percernaan juga akan aktif semula. Pendek kata, PNS akan ‘reverse’ perubahan yang berlaku ketika SNS.

Tekanan yang dihadapi oleh manusia sekarang selalunya berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Sebagai contoh, tekanan yang disebabkan oleh masalah kewangan, kesihatan, masalah di tempat kerja, masalah perhubungan dengan jiran dan juga dengan teman hidup. SNS sepatutnya ‘diaktifkan’ sekali-sekala dan bukannya setiap masa.

Tetapi oleh kerana masalah yang berlaku hampir setiap hari ini, membuatkan SNS ‘overactive’dan ini yang menyebabkan tekanan dalam hidup dan akan menjejaskan kesihatan terutamanya jantung. Manusia sepatutnya sedar yang tekanan ini tidak patut disimpan di dalam diri dan berusaha untuk menanganinya. Pelbagai riadah yang menarik yang boleh dilakukan setiap hari dan ini dapat membantu manusia menghilangkan segala tekanan. Pengambilan diet yang seimbang juga harus dilaksanakan demi manjaga kesihatan emosi dan jasmani.