Thursday 25 February 2010

Catatan 2


Catatan Dua- Sebuku Roti

Roti ‘Butterscotch’ amat digemari ramai, dan aku adalah salah seorang peminat setianya. Apatah lagi aku seorang pelajar yang masih duduk di asrama dan roti merupakan makanan alternatif yang paling popular sekiranya ingin menjimatkan duit belanja.

Oleh kerana hari Jumaat cuti Gong Xi Fa Chai, aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Kuantan pada hari Khamis selepas selesai kuliah dan akan balik semula ke K.L pada hari Rabu. Cuti kali ini agak panjang. Selalunya, aku hanya membawa sebuah beg sandang berwarna pink dan akan membawa buku Paolo Coelho didalamnya. Baju? Tidak perlulah, kerana di rumah pun sudah ada baju yang boleh dipakai. Kali ini, aku membawa roti ‘Butterscotch’ yang masih lagi berbaki separuh. Jika ditinggalkan di asrama sahaja, jawabnya expired date lah. Terbayang-bayang muka anak buah yang suka sangat makan roti ini.

Nasibku agak baik kerana sempat menaiki bas yang paling awal ke Kuantan di Hentian Bas Pekeliling. Penat juga kalau-kalau terpaksa menunggu bas seterusnya dan aku hanya seorang diri. Jika ada teman, boleh juga berbual bersama-sama. Sebelum menaiki bas, aku telah menghantar SMS kepada abang untuk menjemputku di Terminal Bas Makmur, Kuantan. Jarak perjalanan dari K.L ke Kuantan hanya mengambil masa 3 jam dan sempatlah aku membaca beberapa helai muka surat buku Brida sebelum terlelap.

Sampai di Kuantan, abang masih tidak muncul-muncul untuk menjemputku. Ini bukan kali pertama berlaku, jadi aku hanya bersabar menunggunya. Mujurlah dia setuju menjemputku dan aku hargainya. Lagipun, jalan raya di Kuantan memang akan jam pada waktu petang.
Tiba-tiba, muncul seorang lelaki yang agak tinggi, berpakaian kusut-masai, berkaki ayam dan berkulit gelap mundar-mandir dihadapanku. Aku hanya berkelakuan seperti biasa dan cuba tidak melihat tepat ke arahnya. Takut-takut dia akan naik berang dan akan melakukan perkara yang diluar jangkaan. Di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa kecutnya diri ini. Lelaki tersebut menyelongkar tong sampah hijau dan telah berjaya mendapatkan sisa makanan di dalam sebuah bekas. Makanan itu masih elok ke tidak? Manalah aku tahu.

Lelaki tersebut duduk bertinggung menghadap makanan tersebut dan mengelap-ngelap tangannya yang kotor menggunakan bajunya, lantas menjamah makanan itu. Tiba-tiba aku teringat roti ‘Butterscotch’ di dalam beg dan aku telah memegang roti tersebut untuk diberikan kepadanya. Tetapi, aku tidak melakukannya oleh kerana aku takut untuk mendekati lelaki tersebut. Manalah tahu dia akan menerkamku, menculikku, memukulku, ataupun memarahiku. Macam-macam perkara buruk aku bayangkan. Aku terkaku.

Selepas dua minit, lelaki tersebut pun bangun dan pergi entah kemana, dan aku masih lagi memegang roti ‘Butterscotch’.

No comments:

Post a Comment